"
Senjata syaitan yang pertama ada dalam diri kita adalah marah atau panas baran. Marah merupakan salah satu sifat dan warisan iblis laknatullah sejak penentangannya terhadap ciptaan Adam a.s. Sejak kengganannya sujud kepada Adam a.s.,sejak itu pula api marah mula membara dan menjadi cara hidup iblis serta bala tenteranaya"
Sebenarnya setiap orang tidak akan kekal menyukai dan membenci sesuatu. Ada masanya dia akan suka sesuatu yang bersesuaian dengannya dan ada masanya dia akan membenci sesuatu yang menyalahinya,maka tidak dapat tidak akan disusuli dengan perasaan suka atau marah dan benci. Secara fitrahnya jika sesuatu yang kita sukai diambil atau kita tidak dapat sesuatu yang kita suka,maka perasaan marah dan benci akan muncul!
Lumrah setiap manusia mempunyai sifat marah dan berasa marah. Sangat pelik bila seseorang itu tidak pernah marah atau benci. Andai semua manusia yang dicipta tanpa sifat marah maka amanlah dunia ini. Soalnya disini bukan APA yang menyebabkan kemarahan itu berlaku tetapi BAGAIMANA kita menangani sifat marah.
Namun perlu juga kita ketahui mengapa seseorang itu marah. Diantara sebab-sebab yang menimbulkan kemarahan ialah sifat megah diri,bangga diri,mengejek,memalukan orang,suka bermusuhan,memungkiri janji dan tamak. Jelas di sini semuanya ialah sifat tercela atau sifat mazmumah yang mana seseorang itu tidak terlepas dari sifat marah jika mempunyai sifat-sifat ini. Jadi untuk menghilangkan sifat marah,perlulah seseorang itu menyemai sifat-sifat mulia iaitu lawan kepada sifat tercela tadi. Contohnya sifat megah diri,perlulah dia merendah diri untuk menghindari dari marah dan jika bangga diri perlulah dia menganggap semua manusia sama rata sahaja.
Jika dilihat seseorang yang marah akan berubahlah mukanya,angotanya menggelatar,perbuatannya lain dari biasa dan kata-katanya keji dan tercela. Lidahnya mudah mengeluarkan kata-kata kutukan,mengumpat dan yang lebih buruk dari itu kata-kata haram yang boleh mengeluarkannya dari Islam seperti lafaz kufur,mencela agama dan sebagainya. Nauzubillahimin zalik.
Jika kemarahan itu dizahirkan di tengah-tengah masayarakat maka berlakulah permusuhan,hasad dengki dan kemudharatan kepada masyarakat. Ada seperkara lagi yang selalu kita lakukan ketika marah,padahal perkara itu amat membahayakan diri sendiri sebelum ia membahayakan orang lain. Mungkin kita menyedari bahawa perbuatan itu salah,tetapi kerana telah dipengaruhi perasaan marah yang teramat sehingga kita tidak dapat menimbang kata-kata yang diucapkan. Kata-kata seperti melaknati orang,memaki-hamun orang,mencelakakan orang dan sebagainya. Fikirkan,jika kita menyebut kata-kata yang tercela kepada orang,seolah-olah kita telah menuduhnya dengan ucapan itu. Andaikata apa yang diucapkan itu benar maka kita telah melanggar perintah Allah yang menyuruh kita menutup keaiban orang kerana orang yang membuka keaiban saudara seislamnya berdosa besar di sisi Allah.Apatah lagi jika tuduhannya itu tidak benar maka bertimapa-timpa lagi dosanya.
Ada setengah ulama menganggap ucapan-ucapan tercela seperti bodoh,bangang,sial,celaka dan seumpamanya sebagai doa kerana ada sebuah hadis yang melarang perbuatan seperti itu. (maaf penulis tidak ingat hadis tersebut). Tambahan pula dikhuatiri jika ucapan itu kebetulan dengan masa Allah kabulkan doa dan permintaan(mungkin juga waktu-waktu yang mustajab doa),nescaya bencana ucapan itu menimpa orang yang ditujukan,jika dia memang patut menerima bencana itu pada ukuran Allah s.w.t. Tetapi sekiranya dia tidak patut menerimanya mengikut ukuran Allah,biarlah Allah yang menentukan balasan perbuatannya. Bayangkan jika seorang ibu memarahi anaknya dengan kata-kata yang tercela,maka jangan salahkan anaknya pula jika anaknya menjadi seperti apa yang dimarahinya. Sesungguhnya nilai seorang ibu sangat tinggi maka janganlah merendahkan kemuliaan ini dengan menuturkan kata-kata yang keji kepada anaknya. Sermoga kita terpelihara dari menjadi ibu yang panas baran.
Sebenarnya sifat marah ini boleh dikawal dengan memperbanyakkanlah bertafakur bermuhasabah serta mengambil teladan dari kisah-kisah para sahabat dan akhlak Rasulullah terutamanya.
"
Siapa yang menahan marah,padahal dia dapat melampiaskan kemarahannya,maka kelak pada hari kiamat,Allah akan memangilnya di depan sekalian makhluk. Kemudian dia disuruh memilih bidadari menurut kehendaknya." (HR Abu Daud dan At-Tarmidzi)
Menurut riwayat,ada seorang Badwi datang menghadap Nabi dengan maksud ingin meminta sesuatu daripada baginda. Nabi s.a.w. memberinya lau bersabda,"Aku berbuat baik padamu." Badwi itu berkata,"Pemberianmu tidak baik." Para sahabat merasa tersinggung lalu mengugutnya dengan marah. Namun Nabi s.a.w. memberi isyarat agar mereka bersabar. Kemudian Nabi s.a.w. pulang ke rumah dan kembali membawa barang tambahan untuk diberikan kepada Badwi. Nabi bersabda kepaa Badwi."Aku berbuat baik kepadamu ?" Badwi itu berkata,"Ya,semoga Allah membalas kebaikan tuan,keluarga dan kerabat." Keesokan harinya Nabi s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya," Kalau pada waktu Badwi itu berkata sekasar yang engkau dengar,maka engkau tidak bersabar lalu membunuhnya maka dia pasti masuk neraka,namun kerana aku bimbing dia dengan baik maka dia selamat." Beberapa hari selepas itu si Badwi mahu agar diperintahkan untuk melaksanakan apa jua tugas penting sekalipun berat. Dia juga turut dalam medan jihad dan melaksanakan tugasnya dengan taat dan redha.
Selain itu mengawal marah perlu juga dengan amal perbuatan di antaranya ialah membaca ta'awuz iaitu
"Auzubillahiminasyaithonirrojim". Jika kemarahan itu tidak hilang,maka hendaklah dia duduk jika dia berdiri dan berbaring jika dia sedang duduk. Dekatkanlah dirirnya dengan bumi agar dia sedar kehinaan dirinya sebagai manusia yang diciptakan Allah dari tanah yang hina. Kemudian carilah ketenangan dan berwudhuklah. Semoga Allah menjauhkan dirinya daripada hasutan iblis dan syaitan.
Rasulullah s.a.w. bersabda,
"
Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api di dalam hati anak adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua matanya yang merah dan urat lehernya yang bengkak?Apabila salah seorang dari kamu mengalami demikian maka hendaklah dia mendekatkan dirinya kepada bumi." (HR At-Tarmidzi)
"
Apabila sesorang itu marah dan dia sedang berdiri hendaklah dia duduk,sesungguhnya yang demikian itu akan menghilangkan marahnya dan jika tidak maka hendaklah dia berbaring." HR Abu Daud)
Selain itu cara yang paling ringan dan mudah ialah berdiam diri.
"
Apabila seseorang diantara kamu marah maka hendaklah dia diam." (HR Ahmad)
Sebagai manusia yang penuh dengan kelemahan,ingatlah Allah itu Maha berkuasa ke atas sesuatu. Maka janganlah sifat marah itu menghakis rasa kerendahan kita kepada kekuasaan Allah. Fitrah manusia akan dijentik rasa marah hatta terhadap hal yang remeh temeh sekalipun. Ditambah pula dengan hasutan syaitan yang dengki melihat keakraban sebuah perhubungan yang disemai kerana cinta Allah menjadikan kemarahan yang sedikit berlarutan dalam waktu yang panjang dan dipendam elok-elok dalam hati dan menunggu satu masa untuk dilepaskan. Sahabatku jauhkan diri dengan sifat panas baran,berdendam,menyimpan marah dalam hati dan memendam luka dalam hati kerana perasaan-perasaan ini tidak membawa sekelumit kebaikan pun kepada diri kita apatah lagi kepada orang lain.
Wallahua'lam.
Rujukan dari
40 senjata iblis beserta bala tenteranya-Abu Ahmad Yasin